KBS klinik OHD bukit serdang logo

Kepentingan Pemeriksaan Antenatal: Panduan Untuk Ibu Hamil

women wellness clinic in serdang seri kembangan

Pengenalan

Pemeriksaan antenatal adalah pemeriksaan secara berkala dan teratur yang dilakukan oleh doktor kepada wanita mengandung sepanjang tempoh kehamilan. Sepanjang proses pemeriksaan, doktor dapat memantau keadaan ibu hamil dan perkembangan bayi yang dikandung. Komplikasi akibat kehamilan dapat dikesan dan ditangani dengan lebih awal untuk memastikan ibu mengandung dan bayi yang dikandung sihat sehingga bayi lahir.

Mengapa Pemeriksaan Antenatal Adalah Penting

Pemeriksaan antenatal adalah pemeriksaan yang penting kerana dapat memantau tahap kesihatan ibu hamil dan bayi yang dikandung. Pemeriksaan antenatal yang dilakukan secara teratur dapat mengesan dan mengurus sebarang komplikasi yang mungkin terjadi sepanjang tempoh kehamilan.

Selain itu doktor juga dapat merujuk kes-kes beresiko tinggi ke pakar untuk rawatan lanjut. Ibu hamil juga akan diberikan vaksinasi dan supplement yang diperlukan sepanjang tempoh kehamilan. Penerangan tentang penjagaan diri selama kehamilan, pemakanan yang sesuai serta persediaan bersalin akan diberikan sepanjang tempoh pemeriksaan.

pemeriksaaan antenatal ibu hamil

Bila Memulakan dan Kekerapan Lawatan

Jika seorang wanita merasakan yang beliau mengandung, pemeriksaan untuk memastikan kehamilan dapat terus dilakukan. Pengesahan kehamilan dapat dilakukan melalui ujian air kencing (urine pregnancy test), dan atau pemeriksaan ultrasound.

Setelah kehamilan disahkan, ibu hamil sangat disarankan untuk melakukan pemeriksaan antenatal pertama (booking of pregnancy), atau yang paling lazim disebut di Malaysia, buka buku pink, sebelum 12 minggu kehamilan.

Setelah pemeriksaan antenatal pertama dilakukan, kekerapan pemeriksaan berikutnya adalah bulanan, dwi-mingguan dan mingguan tergantung kepada trimester kehamilan.

Sepanjang pemeriksaan antenatal dilakukan setiap pencapaian penting kehamilan akan direkodkan di dalam buku rawatan kehamilan.

Apa yang Berlaku Semasa Lawatan Antenatal?

Pemeriksaan yang akan dilakukan semasa lawatan antenatal adalah

1. Pemeriksaan Fizikal – Berat Badan, Tekanan Darah Ibu Mengandung

Degupan jantung bayi yang dikandung juga diperiksa dengan menggunakan stetoskop Pinard, doppler atau ultrasound.

2. Ujian Makmal

a. Ujian darah yang dilakukan adalah

  • Full Blood Count – untuk mengetahui tahap hemoglobin.
  • HIV, Hepatitis B, VDRL(sifilis) – untuk mengetahui status penyakit berjangkit.
  • Blood grouping – untuk mengetahui golongan darah.

b. Ujian air kencing – dilakukan untuk melihat adanya atau tidak protein dan glucose.

c. Ujian saringan kencing manis OGTT (Oral Glucose Tolerance Test)

  • Ujian OGTT dilakukan untuk wanita yang mempunyai resiko tinggi terjadinya gestational diabetes pada 24 hingga 28 minggu kehamilan.
  • Jika ibu hamil pernah mengidap gestational diabetes pada kehamilan terdahulu atau apabila glucose dapat dikesan semasa ujian air kencing, OGTT dapat dilakukan lebih awal.

3. Pemeriksaan Ultrasound

  • Pemeriksaan Ultrasound dibuat untuk melihat dan memantau pertumbuan dan pergembangan bayi yang dikandung.
  • Menentukan posisi/kedudukan bayi, lokasi placenta, tali pusat dan jumlah air ketuban.
  • Selain menentukan jantina bayi yang dikandung, denyutan jantung dan pergerakan bayi juga dapat dipantau menggunakan ultrasound.

4. Vaksinasi untuk Ibu Mengandung

Vaksinasi dengan Tetanus Toxoid (ATT) sudah dimasukkan kedalam program imunisasi ibu hamil.
Pada tahun 2023 KKM turut memasukkan vaksin Tetanus-Difteria-Pertusis (TDAP) kedalam program vaksinasi ibu mengandung di Malaysia.

Pemberian vaksin ini dapat memberi perlindungan bukan sahaja kepada ibu tetapi juga untuk bayi yang dikandung terhadap jangkitan tetanus (kancing gigi), difteria dan pertusis (batuk kokol).

Doktor akan memberikan penerangan mengenai penjagaan diri, panduan pemakanan dan persiapan menyambut kelahiran. Selain itu doktor juga akan mengajarkan cara mengisi carta gerakan bayi (fetal movement chart) serta menerangkan tanda-tanda yang perlu diawasi selama proses kehamilan.

Pada trimester terakhir doktor akan menerangkan kepada ibu hamil, tanda-tanda awal yang perlu diawasi sebelum pergi ke hospital menjelang hari kelahiran.

Peranan Pemakanan dan Makanan Tambahan

Makanan yang sihat dan seimbang diperlukan untuk memastikan ibu hamil dan bayi yang dikandung kekal sihat sepanjang kehamilan. Ini termasuk karbohidrat seperti bijirin, nasi dan gandum, serta protein yang kurang lemak dan mempelbagaikan pengambilan sayur dan buah-buahan.

Pada awal kehamilan, ada beberapa ibu hamil akan mengalami rasa loya dan muntah-muntah (hyperemesis gravidarum). Nasihat pemakanan penting untuk mengurangi dampak terhadap kesihatan. Mereka disarankan untuk makan dalam jumlah yang kecil tetapi kerap.

Elak makanan yang mempunyai bau yang kuat dan makanan berlemak. Ibu hamil juga disarankan untuk mengekalkan tahap hidrasi yang baik dengan minum lebih kerap dengan jumlah yang sedikit.

Sepanjang kehamilan ada beberapa supplement yang penting dan perlu diambil seperti

  • Folic acid perlu diambil pada awal kehamilan untuk pembentukan neural tube yang sempurna.
  • Zat besi (haematinics) untuk pembentukan sel darah merah dan menghindari anemia kepada ibu dan bayi yang dikandung.
  • Kalsium dalam bentuk susu atau tablet penting dalam pembentukan tulang yang sihat.
  • Iodine dalam bentuk garam beriodin sangat penting untuk perkembangan otak dan pembentukan hormon thyroid bayi yang dikandung.

Makanan yang perlu dielak sepanjang kehamilan pula adalah daging, ikan dan telur mentah atau yang tidak dimasak dengan sempurna. Selain itu susu yang tidak dipastur, alkohol dan pengambilan kafein (kopi) berlebihan juga perlu dihindari.

Bersedia Bersalin

Antara hal yang penting dilakukan semasa persediaan bersalin adalah pra-pendaftaran persalinan (booking of delivery) di hospital pilihan ibu hamil. Ini memastikan hospital tersebut dapat merancang dan bersedia untuk menyambut kelahiran berdasarkan tahap kesihatan ibu dan bayi yang dikandung.

Pada trimester terakhir doktor yang memeriksa akan menerangkan pilihan cara bersalin (vaginal atau cesarean section). Pemilihan cara bersalin akan tergantung kepada;

  • Tahap kesihatan ibu hamil seperti darah tinggi, kencing manis dan riwayat kelahiran cesar sebelumnya.
  • Tahap kesihatan bayi yang dikandung seperti fetal distress, posisi bayi yang tidak normal.

Sekitar 36-37 minggu kehamilan, doktor akan menerangkan tanda-tanda bersalin yang
perlu diawasi seperti

  • Keluarnya lendir darah.
  • Sakit kontraksi yang berulang dan semakin kuat.
  • Pecah air ketuban.
  • Gerakan bayi yang berkurang.

Jika terdapat salah satu tanda yang disebutkan diatas, ibu mengandung harus segera ke
hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pemeriksaan Antenatal – Memastikan Ibu dan Anak Sihat

Pemeriksaan kehamilan secara berkala dan teratur sangat penting untuk memastikan kesihatan ibu mengandung dan janin yang dikandung sentiasa terjaga. Ia juga dapat mengesan dan menangani secara awal sebarang komplikasi yang mungkin timbul selama kehamilan.

“Ibu Sihat, Bayi Selamat – Sayangi Diri, Sayangi Zuriat”

Di Klinik Bukit Serdang kami mempunyai doktor wanita yang berpengalaman dalam mengendalikan Pemeriksaan Antenatal yang komprehensif. Bermula dari pengesahan kehamilan, rawatan antenatal berkala dan persediaan sebelum bersalin sehinggalah ke rawatan setelah bersalin.

Tunggu apa lagi, marilah ke Klinik bukit Serdang untuk Pemeriksaan Antenatal anda!

Klinik bukit serdang pemeriksaan antenatal ibu mengandung

Waktu Operasi Klinik Bukit Serdang: 

Dibuka setiap hari, klinik kami beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 9 malam. Jom datang ke Klinik Bukit Serdang untuk buat pemeriksaan kehamilan anda sekarang!

Hubungi sekarang: 0172935977

Tekan WhatsApp: 0172935977

Alamat:

Klinik Bukit Serdang,
Lot B, G-40, Jalan PBS 14/1,
Taman Perindustrian Bukit Serdang,
43300 Seri Kembangan, Selangor.

Facebook: Klinik Bukit Serdang
Instagram: Klinik Bukit Serdang

Tags

Share

    Other Articles You Might Be Interested In

    Quick & Easy: Book Your Clinic Appointment Today!

    Secure your preferred time for hassle-free medical care.